Sama ingin memuatkan tulisan beliau di sini:
Pelbagai lapisan masyarakat hari ini bercakap mengenai pemimpin politik dan organisasi dengan pelbagai isu sensasi dan kontroversi. Ruang pejabat dan kafeteria selain khidmat e-mel, telefon, SMS dan pelbagai sudut yang boleh menjadi talian komunikasi dijadikan ruang untuk mereka bercakap dan berbincang.
Malah, wanita profesional dan bekerjaya termasuklah suri rumah juga ada forum mereka tersendiri dalam membincangkan mengenai pemimpin dan kepemimpinan politik, khususnya pemimpin wanita. Begitulah adat resam kehidupan, di mana-mana orang akan bercakap dan tidak akan berhenti bercakap kerana topik yang hendak dicakapkan memang tiada noktah. Apabila kita memperkatakan mengenai pemimpin, perkara penting yang perlu kita lihat secara rasional dan profesional adalah corak pemikiran seseorang pemimpin yang menjadi faktor dan menjadi penentu kepada hala tuju institusi yang dipimpin. Jika lemah pemikiran pemimpin itu, maka lemahlah institusi yang dipimpin dan begitu sebaliknya. Pemimpin perlu memimpin orang bawahan dan di sekelilingnya dan bukannya dipimpin. Itu yang membezakan antara pemimpin dan pengikut. Corak pemikiran pemimpin boleh diklasifikasi seperti berikut yang boleh dijadikan praktik dan panduan kepada mereka yang bergelar pemimpin dalam pelbagai institusi politik, pentadbiran, persatuan, perniagaan dan sebagainya.
Pemikiran Hebat (Great Mind) .
Corak pemikiran pemimpin yang hebat mempunyai kesan ke atas organisasi yang dipimpin. Pemimpin berfikiran hebat ini mempunyai ciri-ciri kepemimpinan seperti berikut:
1) Bentuk pemikiran yang melangkaui zamannya dan luas skop pemikirannya;
2) Berfikiran jauh menuju masa depan dengan visi dan misi yang sukar dicapai oleh mereka yang berfikiran tertutup;
3) Membawa perubahan besar dalam hala tuju organisasi dengan dasar yang membawa impak kepada ekonomi, sosial dan peradaban institusi itu;
4) Seorang pemikir dan mempunyai falsafah yang kukuh dalam menjayakan misinya; dan l Tidak mudah mengikut telunjuk orang lain dan berprinsip kukuh dalam menjayakan apa yang difikirkannya boleh menjadi realiti.
Pemikiran Luar Biasa (Extraordinary Mind)
Tidak ramai pemimpin mempunyai corak pemikiran luar biasa. Lazimnya, pemimpin sekadar mempunyai pemikiran yang biasa atau di luar kebiasaan daripada jangkaan orang lain. Pemimpin yang mempunyai corak pemikiran luar biasa ini selalunya mereka yang kurang diberi perhatian orang lain yang menganggap mereka ini bersikap ganjil dan sukar diterima tabiat dan corak perlakuannya. Pemimpin yang berfikiran luar biasa mempunyai ciri-ciri
kepemimpinan seperti berikut:
1) Menghasilkan teori atau hipotesis yang dijadikan satu landasan. Sebelum dilaksanakan, ideanya sukar diterima oleh mereka yang tidak mencapai tahap pemikiran seperti pemimpin itu;
2) Dianggap pemimpin yang 'hanyut dengan dunia pemikirannya tersendiri' oleh pengikut dan orang kebanyakan;
3) Tidak relevan pemikirannya dengan sumber yang terhad. Pemimpin seperti ini tidak boleh bekerja dengan kongkongan dan tekanan persekitaran yang akan menjejaskan idea dan pemikirannya. Contoh pemimpin yang mempunyai idea luar biasa ini adalah seperti saintis dan pengkaji serta penyelidik yang diberikan akal fikiran yang di luar jangkaan pemikiran orang biasa.
Pemikiran Genius (Genius Mind)
Tidak ramai pemimpin yang mempunyai corak pemikiran yang genius (kebijaksanaan luar biasa) seperti Bill Gates yang juga seorang billionaire hasil daripada pemikiran dan tindakannya yang genius dalam mengendalikan peluang dan ancaman yang wujud dalam dunia perniagaan.
Pemimpin genius selalunya tidak suka kepada publisiti dan promosi diri berlebihan dan selalu bersikap 'low profile' dan banyak memikir dan bertindak daripada bercakap banyak. Pemimpin yang berfikiran genius ini selalunya bercakap
sesuatu yang kreatif, inovatif dan secara kolektif untuk kejayaan organisasi.
Pemikiran Tidak Peduli (Never Mind)
Ramai pemimpin mempunyai corak pemikiran tidak ambil peduli dan hanya mengikut dan mengiyakan kata-kata dan cadangan daripada pengikutnya dengan harapan untuk disokong dan mengambil hati pengikut. Sebenarnya pemikiran pemimpin yang seperti inilah yang akan menghancurkan organisasi kerana bersikap bersetuju, menyokong dan mengikut semata-mata.
Sikap ini sebenarnya jika dilihat secara yang tersirat adalah sikap tidak mahu ambil tahu dan tidak mahu tahu serta tidak tahu apa yang berlaku di sekelilingnya. Walaupun pemimpin seperti ini komited dengan aktiviti dan tugasnya sebagai pemimpin seperti bermesyuarat, melawat tapak projek dan sebagainya tetapi kerana corak pemikirannya yang bersikap tidak perlu tahu banyak dan jangan ambil peduli sangat dengan apa yang berlaku kerana takut dipersalahkan, akan menjadikan organisasi yang dipimpin itu menuju kepada kehancuran yang nyata dan terancang.
Setiap pemimpin mempunyai corak pemikiran berbeza yang bergantung kepada personaliti pemimpin itu. Tidak ada salah benarnya bagi seseorang pemimpin itu dalam merujuk pakai pemikirannya dalam memimpin organisasi tetapi perlulah suai padan dan fleksibiliti dalam menentukan keselarasan dan kesepaduan dalam memimpin organisasi ke arah hala tuju yang menepati visi dan misi organisasi. Seseorang pemimpin yang efektif dan efisien itu perlu mengamalkan sikap 'cakap dan buat' dan bukan 'cakap tak serupa bikin' kerana jika tidak pengikut-pengikutnya akan 'cakap-cakap' mengenai sikap pemimpin yang hanya tahu bercakap tetapi tidak pernah membuat seperti apa yang dicakapkan.
Oleh itu, seseorang pemimpin perlu peka dan bukan pekak dalam mendengar hasrat dan suara hati pengikut dan orang bawahan. Bentuk daripada awal corak pemikiran kritis dan hebat bagi membentuk hala tuju organisasi yang dipimpin ke arah kecemerlangan.
Editorialblog serta para editor MSM berharap sangat-sangat pemimpin yang ada sekarang baik dari kalangan kerajaan atau pembangkang supaya menilai diri mereka terhadap apakah corak pemikiran mereka. jangan diamalkan corak pemikiran tidak peduli dan "hanya mengikut dan mengiyakan kata-kata dan cadangan daripada pengikutnya dengan harapan untuk disokong dan mengambil hati pengikut". - Renung renungkan lah...
1 comment:
Saya berpendapat tidak perlu seseorang pemimpin itu mempunyai pemikiran luar biasa atau pemikiran genius cukuplah sekadar seorang pemimpin yang rajin mengunakan otak untuk berkerja. Pemimpin juga seharusnya mempunyai akal untuk menganaylsa sesuatu issue. Tapi yang paling penting bagi saya seseorang pemimpin mestilah mempunyai penasihat-penasihat yang berpengalaman. Mereka ini mestilah dari kesemua bidang baik ekonomi, ugama, kemasyarakatan, politik dan lain lain. Lagi elok kalau setiap bidang mempunyai sekurang kurangnya dua penasihat yang berlainan.
Mereka ini perlulah juga tidak mempunyai apa apa kepentingan dalam apa jua keputusan yang bakal diambil.
Setelah mendengar kesemua nasihat dan pandangan, barulah sipemimpin mengunakan akal dan minda menganalysa segala nasihat dan pandangan dan akhirnya dengan rasa rendah diri membuat keputusan.
Persoalanya - adakah pemimpin sebegini dikalangan pemimpin kita?
akd
Post a Comment