KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) — Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mempertahankan tindakan Jabatan Perdana Menteri (JPM) membuat laporan polis ke atas beberapa akhbar berikutan penyiaran kandungan laporan siasatan Suruhanjaya Diraja mengenai klip video perbualan seorang peguam dengan hakim kanan bagi mengatur pelantikan hakim.
Sambil menyifatkan penyiaran tersebut sebagai `sesuatu yang tidak betul
dan tidak wajar’, Perdana Menteri berkata laporan berkenaan seharusnya
dibentangkan terlebih dahulu kepada kerajaan.
Beliau berkata keputusan sama ada hendak menjadikan laporan itu bahan
bacaan umum atau bahan rahsia adalah hak kerajaan, justeru tidak wajar sekiranya ada pihak-pihak tertentu yang ingin mendahului kerajaan dalam hal
itu.
“Itu adalah perkara yang penting, jadi sebelum kerajaan buat apa-apa
keputusan, tidak wajarlah bagi mana-mana pihak hendak mendahului kerajaan
mengeluarkan dan melaporkan hal-hal yang berkaitan dengan beberapa perkara yang ada dalam laporan itu.
“Ini satu tindakan yang tidak betul, tidak wajar dilakukan jadi tentulah pihak jabatan yang bertanggungjawab untuk menyediakan laporan ini akan merasa sesuatu yang tidak kena, sesuatu yang tidak betul, sesuatu yang melanggar undang-undang yang mengikut pandangan mereka. Maka sebab itulah mereka
membuat aduan itu dan tindakan itu satu tindakan yang wajar,” katanya.
Abdullah menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai
laporan polis yang dibuat oleh JPM berikutan tindakan akhbar The Star, New
Straits Times dan Berita Harian menyiarkan kandungan laporan siasatan
Suruhanjaya berkenaan.
Menjawab dakwaan bahawa laporan itu tidak tertakluk di bawah Akta
Rahsia Rasmi (OSA), Perdana Menteri berkata pihak yang berkenaan perlu mengambil kira keperluan untuk laporan tersebut disampaikan kepada kerajaan terlebih dahulu.
“Jadi itu yang pentingnya, kerajaan dulu, sebab itu apabila saya
ditanya mengenai laporan ini, adakan mahu mendedahkannya kepada umum, saya kata tunggu kejap. Pada waktu itu saya pun belum baca lagi, saya sendiri belum tengok, tiba-tiba saya kata umumkannya, takkan begitu.
"Kalaupun saya dah baca, saya kena tunggu juga untuk membentangkannya kepada jemaah menteri. Ini yang lazimnya yang kita lakukan untuk laporan-laporan suruhanjaya lain,” katanya.
Abdullah berkata adalah tidak wajar untuk menyiarkan laporan itu
sedangkan ia belum dibentangkan kepada kerajaan.
Mengulas mengenai kedudukan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung pembabitannya dalam siasatan Suruhanjaya berkenaan, Abdullah meminta kerjasama media agar tidak membuat spekulasi sendiri mengenai perkara itu. Beliau berkata perkara itu tidak seharusnya dijadikan ’pendakwaan awam’ memandangkan ia akan mewujudkan ketidakadilan kepada individu yang terlibat dalam siasatan itu.
"Jangan buat tuduhan yang bukan-bukan. Ini tak adil kepada orang yang
berkenaan. Tunggu siasatan, jangan buat siasatan itu dan ini dan buat tuduhan
sendiri,” katanya.
Katanya, laporan siasatan itu telah diserahkan kepada Peguam Negara
selaku penasihat kerajaan dalam aspek perundangan untuk tindakan
selanjutnya.
Editorialblog dan para editor MSM hanya senyum mengenangkan gelagat dan mainan politik. Tak usahlah cuba menunjukkan diri tidak mengetahui apakah berita yang akan disiarkan oleh akhbar berkaitan. Tidak usahlah mengatakan bahawa akhbar New Straits Times, Berita Harian dan The Star bebas menyiarkan apa saja artikel. Kenapa Utusan Malaysia tidak menyiarkan laporan itu sedangkan akhbar itu juga mendapat maklumat yang sama.
Kalau lah Abdullah mendakwa beliau belum tengok laporan itu, jadi siapakah yang melihat dan membacanya dan menyerahkan kepada pengarang-pengarang kanan MSM. Adakah, 'budak-budak tingkat empat' atau menantunya sendiri, Khairy Jamaluddin yang membacanya?
Editorialblog sekadar mahu memaklumkan bahawa 'ada tangan' di Putrajaya sendiri yang menyampaikan laporan itu dan menyatakan bahawa "terpulang kepada anda untuk menyiarkannya atau tidak. Anda boleh menyiarkannya dan kami akan lindungi anda". Pada masa itu Kabinet kerajaan Abdullah Badawi belum bermesyuarat untuk memutuskan sama ada akan mendedahkan isi kandungan laporan berkenaan.
Sebenarnya, jika dibawa terlebih dahulu ke dalam Kabinet sudah pasti para menteri tidak bersetuju laporan suruhanjaya itu didedahkan kepada orang ramai. Tetapi dengan 'membiarkan' tiga akhbar berkenaan menyiarkan laporan itu terlebih dahulu, maka para menteri terpaksa bersetuju supaya laporan itu didedahkan.
Lagi pula, sememangnya kerajaan Abdullah mahu mendedahkan laporan itu bertujuan untuk memalukan enam individu, termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Ini semua adalah mainan politik 'tangan-tangan gatal' di Putrajaya. Sebab itu, persiapan iaitu mencetak sebanyak mungkin laporan yang tebal itu untuk dijual kepada orang ramai mulai hari Selasa ini.
Para editor kanan MSM sudah mengetahui taktik ini. Hari ini, Abdullah hanya membuat kenyataan 'sembunyi tangan' apabila menyifatkan penyiaran laporan tersebut sebagai `sesuatu yang tidak betul dan tidak wajar’. Sedangkan, sebaliknya beliau dan 'tangan-tangan gatal' di Putrajaya lebih menyukai pendedahan itu.
1 comment:
Asalamulaikum,
Sudah agak lama saya tidak memberikan sebarang komen diruangan ini. Ini disebebkan permergian saya sekali lagi yang agak lama dikeluar dan juga bebanan tugas yang berat. Pohon maaf saya pinta.
Agak banyak perkembangan dan issue yang diketengahkan oleh Editorialblog yang sebenarnya ingin saya sentuh tapi saya rasa issue bhg 31 perlu saya perkatakan dahulu.
Saya berpendapat laporan siasatan Suruhanjaya Diraja berkenaan video VK Lingham haruslah ditarik balik. Saya mengatakan begini kerana sipembuat video itu sendiri MP Loh Gwo Burne mengikut laporan The Star pada 14 Mei telah mengaku bahawa video klip 14 minit yang disiasat hanyalah 20-30% dari keseluruhan rakaman beliau.
Suruhanjaya Diraja jika ingin menyiasat mestilah menonton keseluruhan rakaman tersebut. MP Loh juga telah mempermainkan siasatan tersebut dengan tidak menjelaskan dan memberitahu akan adanya 70-80% rakaman lagi.
Berkemungkinan 70-80% rakaman itu tidak mengandungi apa apa yang penting atau mungkin ia telah melibatkan ramai lagi personaliti penting negara.
Apa kata kalau diakhir rakaman itu VK Lingham telah mengatakan dia cuma berlakon didepan tetamunya. Dia kemudian menyerahkan telepon bimbitnya kepada ayah MP Loh yang berada disitu supaya bercakap dengan orang ditalian dan disahkan semuanya adalah lakonan belaka.
Tidakkah semua ini membuang masa, tenaga dan wang rakyat dengan penubuhan dan siasatan Suruhanjaya Diraja.
Saya mensyorkan Suruhanjaya Diraja menarik balik laporan dan mengarahkan (jika ia ada kuasa) MP Loh menyerahkan keseluruhan pita rakaman. Kesasihan rakaman ini juga harus disahkan dengan teliti.
Selagi keseluruhan rakaman ini tidak diteliti, saya rasakan segala komen dan analisis yang diperkatakan sekarang adalah tidak releven.
akd
Post a Comment