Thursday, May 8, 2008

Apa Kata Editor MSM (Bhg 27 - Karpal jolok sarang tebuan)

Akhirnya Umno juga yang pertahankan Raja-Raja dan Sultan Melayu daripada diperlekehkan oleh kaum lain, terutama mereka yang masih tidak sedar mengenai kontrak sosial dan hak keistimewaan Melayu. Atau pemimpin itu sememangnya sedar mengenainya kerana mereka pakar dalam undang-undang, tetapi sengaja mahu 'menjolok sarang tebuan' dan melihat sama ada tebuan itu mempunyai sengatnya atau tidak.
Setakat ini, Editorialblog hanya melihat sengat tebuan sudah dikeluarkan, tetapi belum menyengat. Seperti yang disiarkan sebelum ini dalam Editorialblog ternyata kenyataan oleh Karpal Singh itu boleh mencetuskan suasana kurang senang di kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Semua kaum tidak kira Melayu, cina, India dan lain-lain mahu hidup harmoni dan menjalankan kegiatan harian mereka.
Editorialblog pun ada rakan daripada kalangan kaum lain. Mereka mahu hidup aman. Tidak mahu kepada kekacauan yang boleh menyebabkan hidup tidak aman atau sukar mencari rezeki. Jika berlaku kekacauan mereka juga sukar mencari rezeki, membuka kedai dan menjalankan perniagaan.
Tetapi, di sebalik semua harapan ini ada satu puak yang tidak suka melihat Malaysia aman. Maka mereka cuba menganggu dan merosakkan pelan ekonomi negara atau membuat kenyataan yang boleh menjejaskan keselamatan negara. Kenyataan yang melaga-laga semangat antara kaum. Mereka menggunakan isu perkauman untuk melemahkan negara ini selepas tidak berjaya menyerang ekonomi Malaysia yang terus kukuh kerana kukuhnya hubungan kaum.
Oleh itu, puak-puak ini terus menggunakan sentimen perkauman untuk kepentingan politik dan diri mereka. Kononnya untuk menunjukkan bahawa merekalah pemimpin kepada rakyat. Tetapi, kita sudah sedar bahawa mereka inilah yang menyuntik kekacauan. Menggunakan jarum halus iaitu isu Melayu, Raja atau Sultan, maka orang Melayu mula panas.
Editorialblog melihat sejak beberapa hari ini orang Melayu yang terdiri daripada profesional dan Melayu dalam Umno bangkit mempertahankan institusi raja selepas Karpal Singh mempertikaikan bahawa Sultan Perak tidak mempunyai hak untuk campur tangan dalam keputusan kerajaan negeri, termasuk mengarah Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin membatalkan arahan pertukaran dan melantik semula Datuk
Jamry Sury sebagai Pengarah JAIP. Karpal mendakwa arahan Sultan Perak supaya Jamry dilantik semula adalah tidak sah mengikut undang-undang dan sepatutnya keputusan terdahulu kerajaan negeri mengarahkan pertukaran Jamry dikekalkan.
Antara lain Karpal berkata: “Istana kena faham jangan melampaui batas dan had kuasa. Sultan adalah ketua negeri masing-masing. Malaysia adalah negara tunggal yang ada sembilan Sultan, jumlah terbesar di dunia. Kerajaan Pusat patut memastikan Sultan dilarang campur tangan dalam pentadbiran kerajaan negeri sehingga Menteri Besar Perak melantik semula Jamry. Kita tak hidup dalam zaman feudal lagi".
Kenyataan dibuat oleh Karpal itu telah menimbulkan kemarahan orang Melayu. Dalam hal ini, Naib Presiden Pas, Dato Husam Musa juga sepatutnya faham serta tidak menyalahkan media sehingga isu itu menjadi besar. Adakah bagi pendapat Husam perkara ini bukan isu besar? Atau orang Melayu perlumenunggu hingga Karpal meludah atau memijak kepala baharu hendak bertindak. Husam dalam mengulas isu itu berkata: "Isu Karpal (Singh) ini kalau media tak layan, tak ada apa pun, sepatutnya media jangan terlalu ikut rentak Karpal".
Editorialblog ingin mengingatkan Husam bahawa tindakan media arus perdana memperbesarkan isu ini adalah kerana kesedaran para editor kanan MSM yang bersedia membela orang Melayu, bersedia membela Raja-Raja Melayu dan Sultan daripada diperlekehkan. Bukan untuk menutup kelemahan kerajaan pusat terutama selepas kalah
teruk pada pilihan raya umum lalu. Bukan sama sekali.

Atau, Husam kecewa kerana Pas tidak cepat-cepat memainkan isu ini atau tidak sensitif kepada isu Melayu lalu cuba mencari orang lain untuk dipersalahkan. Media dipersalahkan.
Sebenar, tanpa MSM memberi perhatian kepada isu itu di mana lagi wadah untuk orang Melayu membela Raja, Sultan dan Melayu? Ya! Pembelaan boleh dibuat di dalam laman web atau blog. Tetapi kita harus sedar sekarang bahawa banyak laman web dan blog popular di negara ini kurang membela Melayu. Akhbar Harakah sendiri tidak mahu memperbesarkan isu ini sebaliknya hanya mencari kesalahan pihak lain.
Jadi dalam isu ini para editor MSM berpendapat elok diingatkan kepada rakyat bahawa MSM membela orang Melayu. Walaupun, ramai para editor MSM tidak sependapat dengan kepimpinan Umno dan kerajaan sekarang tetapi dalam hal yang menyentuh mengenai hak keistimewaan dan ketuanan Melayu, mereka berasa bertanggungjawab untuk
membelanya.
Editorialblog bukan untuk menghasut tetapi mahu mengingatkan kerajaan sekarang bahawa 'padam api sebelum membara'. Rakyat mengharapkan negara aman dan perhatikan 'dakyah sulit' pihak tertentu untuk merosakkan perpaduan di antara kaum di Malaysia dengan mempermainkan isu-isu sensitif. Atau kerajaan sekarang TAKUT?

No comments: