Monday, May 19, 2008

Apa Kata Editor MSM (Bhg 32 - Tun Mahathir keluar Umno)

Bekas Perdana Menteri yang juga bekas Presiden Umno paling lama dalam sejarah parti politik Melayu itu, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan keluar daripada Umno berkuat kuasa serta-merta.
Beliau yang juga ahli Umno seumur hidup bertindak demikian kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan Umno sekarang yang gagal membela nasib orang Melayu di negara ini.
"Saya umum saya keluar parti hari ini,” katanya di hadapan kira-kira 1,000 hadirin yang kebanyakannya anggota Umno Kedah pada majlis bertajuk “Nasib Kedudukan Bangsa Melayu” di sebuah hotel di sini hari ini.
Bekas Presiden Umno itu juga berkata beliau hanya akan kembali menjadi anggota Umno selepas Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Presiden Umno meletak jawatan atau tidak lagi menjadi pemimpin utama negara.
"Saya akan menulis surat kepada Umno bagi memaklumkan mereka (mengenai keluar dari Umno),” katanya.


Bercakap kepada pemberita selepas majlis anjuran Dewan Perhimpunan Melayu kedah itu, Dr Mahathir dengan wajah kecewa berkata beliau terpaksa mengambil tindakan keluar Umno yang dianggotai sejak 1946 kerana berpendapat parti itu tidak lagi dapat berperanan sebagai sebuah parti politik sebenar untuk membela nasib Melayu, sepertimana hasrat sejarah penubuhannya.
Sambil menyatakan rasa tidak puas hatinya, Dr Mahathir mendakwa Umno kini hanyalah dijadikan parti untuk mengiktiraf Abdullah sebagai Presiden Umno dan mengutamakan kepentingan keluarganya (Abdullah) sehingga membelakangkan negara.
“Saya boleh senaraikan perkara-perkara yang dia (Abdullah) lakukan sehingga merugikan negara kita.
“Umno yang wujud hari ini tidak lagi berpegang kepada hasrat parti yang ditubuhkan 62 tahun lepas. Sebab itu saya tidak teragak-agak untuk keluar dari Umno,” katanya.
Dalam sejarah Dr Mahathir dalam Umno, beliau pernah dipecat daripada Umno pada 1969 kerana melanggar disiplin parti apabila mengkritik kepimpinan Umno ketika itu, tetapi diterima kembali ke dalam parti pada 1972.
Dr Mahathir turut mengajak anggota Umno yang sependapat dengannya berhubung dengan kepimpinan untuk mengikuti jejaknya dengan bertindak keluar dari parti itu tetapi bukan untuk menyertai parti lain.
“Saya yakin cara ini berkesan. Saya tidak akan menyuruh orang membuat sesuatu yang saya sendiri tidak berani melakukannya,” tambahnya.
Bekas Perdana Menteri turut melahirkan rasa kecewa kerana anggota-anggota Umno masih disekat oleh kepimpinan parti daripada berjumpanya.
“Sampai nak adakan perjumpaan, ahli-ahli Umno dan ketua bahagian tidak dibenar berjumpa saya. Ini apa,” katanya.
Beliau berkata tindakan kepimpinan Umno itu hanya menyebabkan timbul lebih banyak rasa tidak puas hati dan akhirnya melambangkan Umno sebagai tidak demokratik.
Ketika diajukan soalan oleh pemberita mengenai tindakannya itu akan membuat orang lain mengikuti jejaknya, Dr Mahathir berkata: “Saya tidak peduli kerana saya pun disekat daripada berjumpa dengan ahli-ahli Umno.”
Beliau juga yakin bahawa tindakannya meninggalkan Umno tidak akan memberi kesan kepada politik orang Melayu.
“Saya pernah dibuang dari Umno, (dan) politik Melayu tidak hilang. Kalau orang Melayu hendak betulkan, bukan kerana (tindakan) saya keluar. Kalau mereka berani hendak pelihara parti dan perjuangan parti mereka harus berani bertindak,” katanya.
Dr Mahathir juga sekali lagi menegaskan bahawa Abdullah perlu melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri bagi memastikan survival Umno dan jika perlu anggota Umno boleh membuat undi tidak percaya dalam usaha memaksa Abdullah meletak jawatan.
Ditanya adakah tindakan terbarunya itu (keluar Umno) bertujuan untuk memberi tekanan kepada Abdullah, Dr Mahathir berkata: “Saya tidak tahu mengenai tekanan kerana orang ini tidak faham apa-apa”.
Ditanya adakah tindakannya keluar daripada Umno mempunyai kaitan dengan arahan terbaru Kabinet supaya Peguam Negara memulakan siasatan serta merta berhubung segala tuduhan terhadap individu yang dinamakan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai klip video peguam Datuk V.K Lingam, Dr Mahathir menafikannya.
"Ini soal mahkamah... dia boleh tuduh dan kalau saya salah masuk jail. Kalau tak salah janganlah tangkap saya juga,” katanya sambil ketawa.
Individu yang dinamakan dalam laporan itu terdiri daripada Lingam; bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; tokoh korporat Tan Sri Vincent Tan; dua bekas Ketua Hakim Negara iaitu Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Tun Mohd Eusoff Chin serta Dr Mahathir.Pada akhir majlis itu, Dr Mahathir turut melahirkan kekecewaannya terhadap pemimpin Umno sekarang kerana bukan sahaja tidak mempertahankannya sebaliknya turut mengkritiknya.
"Kalau dulu orang kata kononnya saya berkhidmat kepada negara, cium tangan naik asap tapi bila saya kritik Datuk Seri Abdullah pasai tak buat jambatan orang maki saya. Tiada siapa dalam Umno mempertahankan saya,” katanya kesal.
Pada majlis itu, Dr Mahathir dalam ucapannya selama sejam turut menjawab beberapa persoalan yang ditimbulkan oleh hadirin antaranya berhubung pengganti Abdullah dan langkah memulihkan kuasa politik Umno.
Dr Mahathir juga mengulangi gesaannya supaya sistem kuota kelayakan untuk bertanding jawatan penting pada perhimpunan agung Umno Disember ini dimansuhkan melalui persidangan mesyuarat khas parti.


Itulah Tun Dr Mahathir Mohamad, seorang negarawan yang sayangkan Melayu, Cina, India dan semua rakyat Malaysia. Seorang pemimpin untuk semua bangsa. Pemimpin yang tidak mahu melihat rakyat Malaysia tersungkur di bumi sendiri. Pemimpin yang budinya ditabur kepada bangsa Melayu, Cina, India dan kaum lain di negara ini, tetapi ada sesetengah daripada bangsa-bangsa ini tidak tahu mengenang budi beliau.
Budi dan jasa beliau mengangkat seseorang pada kedudukan dihormati, tetapi orang yang diangkat itu boleh diibaratkan 'anjing' kerana selepas itu mereka 'menggigit' beliau.
Tun Mahathir penuh rahsia. Hinggakan tindakan beliau hari ini yang amat mengejutkan itu pun tidak diketahui oleh orang yang rapat dengan beliau. Anak-anak beliau malah isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali juga tidak mengetahui keputusan Tun untuk keluar dari Umno. Berbeza dengan Perdana Menteri sekarang Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang segala tindakannya akan diketahui oleh orang yang rapat dengannya terutama menantu beliau, Khairy Jamaluddin.
Siapakah Abdullah jika tidak kerana Tun Mahathir mengambilnya semula menyertai Kabinet selepas menjadi 'lalang' ketika perpecahan Umno/Semangat 46 dahulu?
Siapakah Najib jika tidak kerana Tun Mahathir mengangkatnya sebagai Menteri Besar Pahang termuda dan kemudian menjadi menteri Kabinet?
Siapakah Syed Hamid Albar (Tauke pasir) jika tidak kerana Tun Mahathir mengangkatnya menjadi menteri?
Siapakah Muhyiddin Yassin jika tidak kerana Tun Mahathir mengangkatnya menjadi menteri?
Siapakah Mohamed Nazri Abdul Aziz jika tidak kerana Tun Mahathir mengangkatnya menjadi menteri dan melindunginya daripada beberapa skandal?
Siapakah Nor Mohamed Yaacop jika tidak kerana Tun Mahathir mengangkatnya menjadi menteri?
Siapakah Hishammuddin Hussein jika tidak kerana Tun Mahathir mengangkatnya menjadi menteri?
Siapakah Mustapa Mohamed jika tidak kerana Tun Mahathir mengangkatnya menjadi menteri?
Siapakah Rais Yatim yang pernah membakar jambatan Umno jika tidak kerana Tun Mahathir mengangkatnya menjadi menteri?
Siapakah Azalina Othman Said jika tidak kerana Tun Mahathir mengangkatnya menjadi menteri?
Siapakah Noh Omar jika tidak kerana Tun Mahathir mengangkatnya menjadi menteri?
Siapakah Muhammad Muhd Taib jika tidak kerana Tun Mahathir mengangkatnya menjadi menteri besar dan dilindungi pula oleh tun kerana beberapa skandal?
Dan, siapakah menteri-menteri lain serta timbalan menteri atau menteri besar sekarang yang tanpa Tun Dr Mahathir?
Merekalah Melayu yang mudah lupa terhadap jasa 'orang tua' itu. Tidak perlu kita bertanya siapakah Musa Hitam tanpa Tun Mahathir? Mereka lah muka-muka yang tidak tahu malu yang membiarkan 'orang tua' itu bersendirian. Merekalah orang yang tidak tahu betapa kasih dan sayangnya Tun Mahathir kepada Umno, Melayu dan rakyat Malaysia. Merekalah yang memulakan 'perang' dengan Tun Mahathir.
Hari ini juga, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Dato Mohd Alwi Che Ahmad, mencabar mana-mana pemimpin Umno negeri atau bahagian yang tidak mampu memimpin parti meletak jawatan tanpa perlu menunggu isyarat daripada Abdullah Badawi.
Editorialblog: Memang patut Tun Mahathir keluar daripada Umno kerana pemimpin atasan parti itu perlu diberi sedikit pengajaran supaya sedar diri. Selagi, Pak Lah dan konco-konconya berada dalam Umno, Barisan Nasional akan tewan dan hancur. Bersedialah kita semua untuk mendapat kerajaan baru Pakatan Rakyat.

1 comment:

Anonymous said...

Saya rasa saya adalah antara segelintir rakyat Malaysia yang tidak terkejut dengan keputusan Tun Dr Mahathir untuk berunder dari menjadi ahli Umno.
Saya mengatakan demikian kerana saya merasakan TDM telah tersangat kecewa dengan apa yang sedang berlaku didalam Umno. Namun setelah menegur seawal 2006 lagi tapi semuanya tidak diendahkan oleh kepimpinan Umno.
Saya rasakan kepimpinan Pak Lah setelah mengambil ahli mempunyai satu misi yang amat sekali mudah untuk memajukan negara. Segala blueprint telah tersedia dan apa yang perlu hanyalah perlaksanaan dengan betul dan berhemah. Ikut saja blueprint dan negara akan mencapai status negara maju menjelang 2020.
Tapi amat malang sekali setelah berkuasa pertadbiran Pak Lah telah menukar arah dan system ekonomi negara. Mereka telah merencana system ekonomi baru yang perlu dimulakan dari tahap sifar "0". Bila ini terjadi nikmat kejayaan akan cuma dapat dinikmati setelah ia matang dan mencapai mungkin 70-80% perlaksanaannya. Maka rakyat terpaksalah merana dan bertungkus lumus berkerja untuk mencapai tahap kejayaan yang diharapkan. Itu pun jika ia berjaya.
Kekecewaan TDM (selain dari tersebut diatas) saya rasakan antara lainnya adalah:
1. Maruah dan nama negara semakin terhakis diluar negara. Semasa zaman TDM, kita amat berbangga untuk mengatakan yang kita dari Malaysia tapi sekarang ni nak cakap pun malas
2. Negara negara OIC menaruh harapan yang amat besar keatas Malaysia bila ia diberikan jawatan Pengerusi (semasa pertadbiran TDM) tapi semuanya tidak kesampaian bila Pak Lah yang menjadi Pengerusi. Langsung tidak kedengaran suara OIC.
3. Setiap satu legasi TDM cuba dirubah dan dihapuskan. Putrajaya, Cyberjaya dan MSC seperti dilupakan.Tiada langsung usaha untuk menambah nilai semua ini.
4. Hampir kesemua perancangan TDM dihentikan umpamanya double track, jambatan mengantikan tambak Johor.
5. TDM melihat segala penat lelah dan perancangan untuk negara yang dibina selama 22 tahun terhapus hanya dalam masa 3 tahun
6. Kepentingan dan kesejerhartaan rakyat tidak langsung menjadi agenda utama pertadbiraan Pak Lah.
7. Setelah lebih 2 bulan PRU12 masih tidak ada perubahaan yang dilihat atau pun dirasai oleh rakyat.
Coretaan diatas hanyalah sebahagian dari peramatan saya yang dirasakan telah mendorong TDM untuk keluar dari UMNO.
Saya cuma terkejut yang TDM tidak mengambil langkah ini lebih awal lagi.

akd