Saturday, May 24, 2008

Apa Kata Editor MSM (Bhg 27 - Satu kapal dua nakhoda)

Itulah yang terjadi terhadap Umno Terengganu selepas kemelut pelantikan Menteri Besar berakhir dengan Datuk Ahmad Said mengangkat sumpah di Istana memegang jawatan barunya, bukan Datuk Seri Idris Jusuh yang menerajui kepimpinan Umno yang merampas kembali Terengganu dari Pas dalam pilihan raya umum 2004.
Kini pentadbiran kerajaan negeri Terengganu adalah dibawah kuasa Ahmad Said, tetapi Ahmad tidak menerajui parti yang memerintah negeri itu.
Parti Umno memerintah Terengganu dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu ialah Idris, tetapi Idris bukan ketua pentadbiran kerajaan negeri.
Dalam hal ini ada sedikit pertindihan kuasa dari segi kepimpinan parti dan negeri. Sepatutnya Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri yang menjadi parti pemerintah di Terengganu menjadi ketua pentadbir kerajaan negeri iaitu menteri besar.
Atau boleh juga orang yang dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu sepatutnya menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri.
Ahmad ada penyokong beliau. Begitu juga Idris ada penyokong beliau. Jadi Umno Terengganu memang berpecah dua. Hanya dengan perletakan jawatan oleh Idris sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri saja segala kemelut dalam politik Umnodapat diselesaikan.
Tetapi hari ini, Idris menegaskan beliau tidak akan meletak jawatan situ walaupun tindakan tersebut boleh menyebabkan kebuntuan politik di Terengganu.
Idris dilaporkan berkata bawaha beliau menerima hakikat bahawa Datuk Ahmad Said selaku Menteri Besar Terengganu mempunyai para penyokongnya sendiri, tetapi beliau juga mendapat sokongan besar para ahli kerana berjaya memimpin Umno Terengganu memenangi pilihan raya umum pada 2004 dan 2008.
"Saya bukannya orang kalah. Saya menerajui parti dan memenangi pilihan raya dengan majoriti lebih dua pertiga. Pada asasnya anggota Umno masih bersatu, cuma sekarang ini ada kebuntuan dari segi perasaan di kalangan anggota,” katanya selepas menyampaikan ceramah Misi Puteri 2013 di Bangunan Umno Perak di Ipoh, hari ini.
Menurut Idris, penyokong Umno di Terengganu kini masih di peringkat penyesuaian berikutan perubahan pucuk pimpinan pentadbiran negeri sedangkan 23 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu masih lagi menyokong beliau.
Katanya, beliau akan terus aktif dalam politik termasuk mempertahan jawatan sebagai Ketua Umno Bahagian Besut jika mendapat sokongan di peringkat cawangan.
Nampaknya, masalah dalaman Umno Terengganu akan semakin parah jika tidak diubati segera. Ini akan menjejaskan setiap pembangunan yang dirancang oleh kerajaan negeri sebelum ini kerana setiap projek yang akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri akan juga dibincangkan dalam Umno. Ini sudah menjadi lumrah mana-mana parti yang berkuasa di setiap negeri.
Tidak boleh dikatakan hanya Umno yang akan membincangkan projek pembangunan. Negeri yang kini diperintah oleh PAS, DAP dan PKR juga akan membincangkan projek pembangunan negeri masing-masing. Termasuk agihan projek untuk kontraktor.
Berbalik kepada kemelut melanda Terengganu - Gelombang Biru ketika Barisan nasional berjaya merampas kembali negeri itu daripada Pas dalam pilihan raya 2004 dijangka melanda Umno Terengganu apabila cawangan dan bahagian bersidang tidak lama lagi.
Tidak lama lagi rakyat Terengganu dan negeri lain dapat melihat siapa yang sepatutnya lebih berperanan dalam parti, negeri dan negara.

No comments: