Thursday, May 8, 2008

Apa Kata Editor MSM (Bhg 26 - Kami terpaksa mengikut kata)

Apa Kata Editor MSM dan Editorialblog:
Jika anda membaca akhbar sebuah rencana dalam Berita Harian yang ditulis oleh Ketua Pengarang Kumpulan akhbar NSTP, Hishamudin Aun beberapa minggu lepas, pastinya anda terkejut terhadap ulasan yang diberikan oleh beliau (Hishamudin) terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang diwawancara dalam rancangan HardTali BBC, baru-baru ini.
Ternyata, Hishamudin telah dipergunakan oleh pentadbiran kerajaan sekarang yang dipimpin oleh Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi. Atau, itukah pendirian Hishamudin terhadap kehendak rakyat sekarang. Para editor MSM bersembang mengenai tulisan yang dibuat oleh Hishamudin. Mereka berpendapat itu bukan lah pendiriannya (Hishamudin) kerana daripada seorang penulis dan pengkritik sukan yang disegani, beliau terus menaiki takhta dunia persuratkhabaran.
Editorialblog bukan untuk merendah-rendahkan hasil penulisan beliau. Hishamudin adalah seorang wartawan yang bertanggungjawab, berani dan tegas dalam membuat ulasan beliau. Beliau adalah antara orang pertama yang membongkar mengenai rasuah dalam bola sepak negara suatu ketika dulu. Beliau adalah antara wartawan yang disanjungi selain Lazarus Rokk dan Dato Fauzi (bekas Pengarang The Malay Mail). Hasil daripada penulisan mereka lah, maka sukan bola sepak negara digegarkan suatu ketika dulu. Seharusnya kita menghormati hasil penulisan beliau dan rakan seangkatannya.
Editorialblog memetik hasil tulisan beliau beberapa minggu lalu:


Sukar untuk dimengertikan apa yang berkemungkinan terlintas di fikiran Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyetujui temu bual dengan pengacara, Stephen Sackur, dalam program HardTalk melalui saluran BBC yang ke udara, petang Isnin lalu.
Banyak yang diperbualkan sepanjang kira-kira 30 minit itu yang kesudahannya menyerlahkan bekas Perdana Menteri itu terbukti tepat dalam tanggapannya bahawa beliau hadir atau lebih tepat lagi menyerah diri untuk dibelasah.
Harus tidak ramai tokoh dari Malaysia yang menerima ‘penghormatan’ untuk ditampilkan dalam program berkenaan sejauh ini dan tiada siapa juga dapat menidakkan Dr Mahathir adalah yang paling petah, keras hati dan berani. Namun, di sebalik beliau berusaha keras untuk menempelak atau mengalih pelbagai serangan terhadapnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, HardTalk – sama ada mahu diakui atau tidak – hanya berkira-kira untuk menelanjangi Dr Mahathir sendiri.
Soalan-soalannya datang secara tegas dan pantas. Dalam pada Dr Mahathir acap kali terkial-kial untuk menghabiskan ayatnya, soalan balas dan hujah disusuli bertalu-talu untuk memberikan persepsi kepada khalayak antarabangsa bahawa inilah perihal Malaysia yang harus dipercayai. Bahawa pemimpinnya bergaduh sesama sendiri, bahawa orang yang menaikkan kini menyesali pelantikan orang yang dinaikkan, bahawa kini menjadi tanggungjawabnya untuk menurunkan orang yang dinaikkannya itu.
Ia bukan pun dalam bentuk perdebatan tiga penjuru, maka tidak hairanlah kalau Dr Mahathir menonjolkan dirinya sebagai pihak yang tidak patut dipersalahkan, hanya untuk kesudahannya dijadikan belasahan. ....
.... Sesiapa juga boleh menyemak catatan untuk mendapati Abdullah sebenarnya tidak pernah menjanjikan demikian. Malah, kalaupun ada kesilapan dalam congakannya, ia adalah pencapaian yang dijangkakannya cuma sedikit kurang daripada keputusan Pilihan Raya Umum 2004.
Jelas, dalam soal ini, Dr Mahathir melakukan pembohongan. Dalam pada itu, ia bukanlah sesuatu yang tidak harus dijangkakan daripadanya pada ketika beliau sendiri tidak sunyi daripada turut mendepani serangan terhadap era 22 tahun pemerintahannya.....
..... Jika diamati hujah serangan Dr Mahathir sama ada dalam temu bual HardTalk atau pada kesempatan lain sebelumnya, gambaran yang boleh didapati ialah banyak perkara yang tidak semena-mena menjadi serba tidak kena sesudah Abdullah mengambil alih teraju pentadbiran. Di sebalik Dr Mahathir meneruskan desakannya agar Abdullah segera melepaskan jawatan, kini Datuk Seri Najib Razak turut tidak lagi menjadi pilihannya untuk mewarisi kepemimpinan.....
.... Atau pada kemahuan Dr Mahathir, sesiapa saja boleh menjadi Perdana Menteri, termasuk Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, atau Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, asalkan sesiapa antara mereka turut bersetuju kepada penubuhan sebuah Majlis Presiden yang akan menetapkan agenda kepada kepemimpinan negara.
Majlis Presiden itulah nanti yang akan mengekang kuasa presiden parti daripada menjadi seorang yang terlalu berkuasa – sama seperti ketika Dr Mahathir sendiri memegang teraju kepemimpinan negara. Dengan beliau sendiri dicadangkan untuk turut menganggotai majlis berkenaan, barangkali tidak sukar untuk mengenal pasti jauhari di sebalik manikam serangan Dr Mahathir sejauh ini. Jika itu dibenarkan berlaku, hasrat rakyat seperti disuarakan melalui peti undi pada Pilihan Raya Umum 8 Mac lalu, tidak lagi akan bermakna apa-apa. ....

Demikian antara hujah diberikan oleh Hishamudin. Lantas, dapat dimengertikan haluan akhbar diwakili beliau sekarang. Tetapi kita tidak boleh menyalahkan beliau, tetapi kita agak terkejut apabila dalam ruangan Minda Pengarang Berita Harian ada menyatakan bahawa Amerika Syarikat kini mengikut jejak Malaysia dengan mengikat mata wang dolar mereka.
Malaysia telah mengikat ringgit bagi kadar RM3.80 bagi AS$1 sejak krisis kewangan 1987 dan 1988. Langkah berani dan mendapat kritikan Amerika itu diambil oleh Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad yang kini bergelar Tun.
Jika dibiarkan kepada Menteri Kewangan ketika itu Dato Seri Anwar Ibrahim sudah pasti Malaysia akan meminta bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan negara kita akan tunduk kepada penjajah semula. Kerana untuk membayar hutang berbilion ringgit pastinya kita perlu mengikut telunjuk George Soros yang mengawal IMF. Malaysia bertuah kerana Dr Mahathir berani membuat tambatan ringgit dan menerima kritikan. Tetapi kini langkah Dr Mahathir itu diikuti pula oleh Amerika, sebuah negara maju selepas melihat langkah itu berkesan mengawal mata wang dan ekonomi negara.
Tetapi apa yang dikesalkan ialah dalam ruangan Minda Pengarang Berita Harian itu langsung tidak menyebut langkah mengikat ringgit itu dicetuskan oleh idea Dr Mahathir. Jelas kini MSM menidakkan kebaikan yang dibuat oleh Tun, tetapi mencari kesalahan beliau seperti rencana yang ditulis Hishamudin di atas.

No comments: