Saturday, May 3, 2008

Apa Kata Editor MSM (Bhg 23 - Melayu tidak percaya lagi kepada parti politik)

    .....Namun bagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bergabung di bawah usaha Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), kepercayaan kepada parti politik untuk berfungsi sebagai hero perjuangan Melayu semakin luntur malah kepudarannya amat terserlah selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, baru-baru ini.Lantas mereka bersepakat untuk berhenti menggantung harapan kepada parti politik dan membentuk permuafakatan sebagai wadah alternatif ke arah menggerakkan misi me- ngembalikan perjuangan Melayu serta memastikan bangsa Melayu tidak dipinggirkan di negara sendiri.
    Sebab itu kongres yang bermula semalam tidak membariskan ahli-ahli politik sebagai pembicara kongres biar pun mereka petah berbicara serta bijak menawarkan janji-janji. Semalam bermulalah usaha memperkatakan tentang nasib bangsa di kalangan mereka yang berlatar belakangkan akademik, budayawan, sejarahwan malah sasterawan tidak ketinggalan tokoh-tokoh ekonomi yang amat prihatin tentang nasib Melayu berikutan perkembangan mutakhir ini.Dewan Tanjung Puteri Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada) Johor yang dibanjiri wakil daripada 195 NGO Melayu memulakan perbincangan perihal Kedaulatan Politik Melayu......
Sedutan rencana ini ditulis Noraini Abdul Razak, wartawan Utusan dalam memperkatakan mengenai Kongres Permuafakatan Melayu yang diadakan di Johor Baharu. Baca di sini untuk maklumat lanjut.
Benarlah seperti kata Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff bahawa kedaulatan politik bangsa Melayu tidak tercabar walaupun dalam pilihan raya umum yang lalu, Umno tewas banyak kerusi. Tetapi, bangsa Melayu kini tidak mempertahankan ketuanan diri kerana daripada 222 Ahli Parlimen, hanya 124 saja mewakili bangsa Melayu.
“Bilangan ini tidak mencerminkan langsung negara ini sebagai negara yang berteraskan Melayu," kata beliau ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Kedaulatan Politik Melayu' dalam kongres itu.
Selanjutnya, beliau memberitahu bahawa kemerosotan sokongan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN), menunjukkan bangsa Melayu telah sedar perubahan sikap pemimpin Umnosekarang yang sombong dan menjauhkan diri dengan masyarakat selain gagal menangani manifesto pembangkang. Walaupun kerajaan mengambil langkah segera dengan mengumumkan macam-macam pakej menarik semula sokongan rakyat, pemimpin perlu sedar bahawa rakyat mahu melihat kesan daripada segala pengumuman bukannya memahami apa yang berlaku, seperti dalam isu kenaikan harga minyak.
Umno perlu sedar mereka tidak boleh sombong dengan orang Melayu kerana ia hanyalah sebuah parti, boleh datang dan pergi. Pemimpin Umno perlu bertindak segera mengubati parti ini, ia perlu membina semula imejnya, menyusun kembali kaedah pengurusan maklumat dan media yang dikuasainya, memperbetulkan semula kedudukannya supaya sesuai dengan tuntutan semasa rakyat dan mengubah semula strategi menawan hati rakyat.
Editorialblog pernah membicarakan mengenai bangsa Melayu kini yang sudah beralih menyokong DAP dan parti lain hanya kerana marahkan pemimpin Umno. Seperti kata bekas Pengerusi MAS, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman bahawa kuasa politik orang Melayu di negara ini dijamin Perlembagaan Negara dan sebarang usaha mengubah hak keistimewaan orang Melayu perlu dibawa ke Parlimen dan mendapat majoriti dua pertiga daripada Ahli Parlimen.
Tidakkah kita bimbang hak keistimewaan bangsa Melayu itu dibubarkan oleh Parlimen. Tidak mustahil kerana ada Ahli Parlimen yang mewakili bangsa Melayu di Parlimen sekarang iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menyokong supaya HAK KEISTIMEWAAN BANGSA MELAYU dimansuhkan. Tidak mustahil ada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang bukan Melayu akan menyokong pembangkang jika ada usaha untuk memansuhkan hak keistimewaan itu. Sebagaimana yang kita semua ketahui bahawa PKR yang bersekongkol dengan DAP tidak membantah jika hak keistimewaan Melayu ditarik balik.
Bekas Pengerusi MAS, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman dalam kongres itu memberitahu bahawa Perkara 153 mengenai Hak Istimewa Orang Melayu tidak pernah menjadi bahan tawar-menawar ketika penggubalan Perlembagaan Negara kerana ia dilindungi Raja-Raja Melayu sejak British mula menduduki Tanah Melayu.
“Ia tidak boleh dipindah kecuali dengan persetujuan Majlis Raja-Raja. Peruntukannya dalam Perlembagaan Negara tidak boleh dipertikai atau dipersoalkan oleh sesiapa pun.
“Suruhanjaya Reid yang menggubal perlembagaan pernah mencadangkan supaya perkara berkenaan diguna pakai selama 15 tahun saja tetapi mendapat tentangan keras daripada Umno dan Raja-Raja Melayu.
“Kedudukan orang Melayu tidak boleh disamakan dengan pendatang. Kerana itulah, hak istimewa kita dilindungi Perlembagaan Malaysia."

No comments: