Friday, May 9, 2008

Apa Kata Editor MSM (Bhg 29 - Benarkah Kata Raja Petra)

Penulis dan pengendali laman blog Malaysia-Today, Raja Petra Raja Kamaruddin yang dibebaskan hari ini mendakwa beliau dinasihatkan oleh pihak penjara Sungai Buloh supaya membenarkan dirinya dijamin oleh isterinya kerana mereka tidak boleh menjamin keselamatannya ketika berada di dalam tahanan.
Beliau dituduh menerbitkan artikel bertajuk Let’s Send The Altantuya Murderers To Hell dalam laman web
www.malaysia-today.net pada 25 April lalu di rumahnya di No 5, Jalan BRP 5/5, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh.
ini adalah kali pertama penulis blog didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman maksimum denda RM5,000 atau penjara tiga tahun jika sabit kesalahan.
Hakim Nurmala Salim menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin selepas peguam tertuduh, K Balaguru, tidak membantah jumlah yang dicadangkan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nordin Hassan.
Raja Petra yang dibebaskan pada jam 9.35 pagi selepas semua prosedur jaminan di pejabat pendaftar Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya selesai. Bersama isterinya, Marina Lee Abdullah serta peguamnya Raja Petra menaiki kereta BMW berwarna hitam yang mempunyai nombor pendaftaran QS 1.
Ketika bertemu wartawan yang menunggu beliau di luar mahkamah Raja Petra mendakwa pihak penjara telah memaklumkan kepada beliau bahawa mereka menerima aduan berhubung tertuduh pertama dan kedua dalam kes bunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar yang menjerit dan mengugut akan melakukan sesuatu kepada beliau.
Beliau mendakwa ketika berada di penjara, beliau ditempatkan di blok yang sama dengan Azilah dan Sirul Azhar serta 18 anggota polis lain yang sedang menunggu hari perbicaraan kes mereka, selain menyifatkan semua polis berkenaan jahat.
“Azilah dan Sirul Azhar yang ditempatkan di blok yang sama dengan saya, menjerit-jerit dan mengugut dengan berkata sesuatu akan berlaku kepada saya. Pihak penjara sangat risau sehingga mereka menempatkan sekali ganda anggota Unit Tindakan Khas (UTK) iaitu seramai empat orang untuk menjaga saya.
“Pihak penjara memaklumkan saya ada lebih 6,000 tahanan di situ dan sesiapa saja mungkin boleh dibeli dengan wang serta tiada jaminan dapat diberikan kepada saya berkaitan perkara itu. Malah pengawal atau warden penjara juga tidak boleh dipercayai 100 peratus.
“Azilah dan Sirul Azhar bukan saja menjerit kepada saya saja. Pegawai penjara sangat risau dan menasihatkan saya supaya keluar dari situ dengan diikat jamin isteri, selain turut menyatakan mereka tidak dapat tidur kerana perlu menjaga keselamatan saya,” katanya.

Raja Petra mendakwa, pihak penjara turut memaklumkan beliau bahawa mereka yang akan
dipertanggungjawabkan jika ada perkara yang tidak diingini berlaku terhadap beliau dan sebab itu mereka meminta beliau berjumpa isterinya kelmarin, yang akan menjaminnya keluar.
Kira-kira 200 orang termasuk wartawan dan lebih 30 rakan Raja Petra memenuhi kawasan mahkamah, untuk memberi sokongan dengan memakai baju T berwarna kuning yang dicetak gambarnya dan tertulis: ‘Justice for All..tantuya’ atau keadilan untuk semua dan Altantuya.
Disoal berhubung mogok lapar yang dilancarkannya, Raja Petra menafikannya kerana beliau hanya enggan makan makanan yang diberikan dalam penjara kerana menyifatkan ia dibayar dengan menggunakan duit rakyat.
“Saya berpendapat duit rakyat tidak digunakan dengan sewajarnya, jadi saya enggan makan. Saya tidak dapat makan makanan yang dibeli dari luar, jadi saya memutuskan untuk tidak makan langsung,” katanya.
Raja Petra mendakwa beliau bukan menunjukkan rasa protes apabila enggan menemui sesiapa termasuk isterinya, sebaliknya menyifatkan dia sendiri yang sanggup berada dalam penjara dan tidak mahu orang lain datang memujuknya keluar kerana itu adalah rancangan utamanya untuk berada di situ sehingga tarikh perbicaraan kesnya Oktober ini.
Mengenai laman blognya:
“Saya akan mengemaskini laman blog saya hari ini, dan mereka tidak boleh menghalang saya. saya juga akan menulis lebih banyak artikel yang berbaur hasutan lagi esok... tengoklah nanti di laman web saya,” katanya.

No comments: